1.0 Pengenalan
1.1 Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
Falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pemandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada satu kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta membukti kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan. Berdasarkan huraian di atas, Falsafah Pendidikan boleh diertikan sebagai pedoman, arah tuju atau pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Maka, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ini digubalkan daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis, berlandaskan daripada ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestikan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan, termasuk Rukun Negara. Falsafah ini akan menjadi suluh yang member pedoman dan hala kepada segala usaha pendidikan samada di dalam institut pendidikan atau di luar institut pendidikan.
Ditinjau dari sudut sejarah pendidikan negara, falsafah pendidikan di negara kita ini lahir setelah melalui proses yang berkeseinambungan yang selari dengan proses pembinaan bangsa dan negara Malaysia. Ia bermula sejak tanah air ini menuntut untuk mendapat kemerdekaan daripada belenggu penjajah. Umumnya dikatakan bahawa, semasa penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, dasar pecah dan perintah adalah menjadi asas kepada bentuk sistem pendidikan yang ada pada masa itu. Tiada usaha penyatuan antara penduduk bandar dan luar Bandar, lebih-lebih lagi antara suku kaum dengan kaum yang lain. Selain daripada tiada usaha kearah perpaduan, hala tuju pendidikan rakyat juga adalah sangat kabur. Sistem persekolahan vernacular yang diperkenalkan adalah tidak bertapak di atas asas yang konkrit dalam perlaksanaannya pada masa itu. Namun sisitem ppendidikan ini terus menerus berkembang tanpa mengambil kira soal keperluan pembangunan tanah air, pembentukan identiti kebangsaan, perpaduan rakyat; apa lagi pembangunan unsure kemanusian. Sisitem pendidikan adalah lebih kepada mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan masing-masing kepada negara asal mereka.
Dengan kata lain tiada falsafah pendidikan yang khusus baik yang tersirat, apa lagi yang tersurat bagi tujuan pendidikan pada masa itu. Oleh yang demikian, bagi tujuan sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat, sesuatu perlu difikirkan tentang keseluruhan sistem pendidikan di tanah air ini. Langkah-langkah perlu diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara berdaulat yang mempunyai hala tuju serta matlamat sendiri. Perkara ini telah disedari oleh para pemimpin tempatan dan rakyat tentang betapa mustahaknya diadakan satu sisitem pendidikan kebnagsaan bagi mengambil alih sisitem pendidikan penjajah sebagai kehendak sebuah negara yang merdeka kelak. Para pemimpin tempatan seperti Tunku Abdul Rahman dan lain-lain tokoh politik telah membuat pelbagai persiapan ke arah sebuah negara merdeka. Sisitem pendidikan negara dengan dasar yang tersendiri adalah antara perkara yang diberi tumpuan dengan serius kerana antara lain, ini adalah agenda bagi menuntut kemerdekaan daripada pihak penjajah.
Satu jawatankuasa dinamakan sebagai Jawatankuasa Pelajaran 1956 telah ditubuhkan bagi mengkaji keperluan sistem pendidikan yang dilaksana selepas tanah air mendapat kemerdekaan. Jawatankuasa ini diketuai oleh Tun Abdul Razak dan telah mengeluarkan laporannya yang dikenal sebagai Penyata Razak 1956. Penyata ini telah dijadikan asas kepada Ordinan Pelajaran 1957. Selepas merdeka, satu jawatankuasa lain dibentuk iaitu Jawatankuasa Rahman Talib bertujuan untuk mengakaji Penyata Razak dan Ordinan Pelajaran 1957 yang diguna pakai dalam sisitem pendidikan selepas merdeka. Jawankuasa berkenaan mengeluarkan laporan iaitu Penyata Rahman Talib 1960.
Kementerian pelajaran pada masa itu telah banyak berpandu kepada Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960, dalam usaha member pelajaran kepada rakyat di tanah air ini. Soal perpaduan kaum adalah yang menjadi agenda utama dalam melaksanakan aktiviti pendidikan pada masa itu. Selain daripada itu, usaha pendidikan adalah juga bagi membangunkan negara yang baru merdeka dari aspek infrastruktur seperti kemudahan-kemudahan awam, kemudahan kesihatan, perkembangan ekonomi berasaskan pertanian dan lain-lain. Dasar pelajaran pada masa itu juga mengharapkan agar keperluan tenaga rakyat di negara ini dipenuhi melalui proses pendidikan.
Akta Pelajaran 1961 adalah digubal berdasarkan Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib 1960. Objektif dasar pendidikan sebagai yang terkandung dalam Akta Pelajaran 1961, antaranya adalah seperti berikut:
“ Bahawasanya dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pelajaran yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya…”
Pada ketika itu falsafah pendidikan masih belum tersurat melainkan masih berasaskan kepada yang tersirat sahaja, Akta Pelajaran 1961 diguna pakai sehingga akta baru iaitu Akta Pendidikan 1996 dikuatkuasakan. Dalam tempoh itu pelbagai pindaan kea rah yang lebih cemerlang telah dilakukan dari semasa ke semasa berdasarkan kesesuaian masa dan keadaan. Pada September 1974, satu jawatankuasa dikenali sebagai Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan sistem pendidikan negara yang dilaksanakan sejak tahun 1961. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Bin Mohamad. Beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu. Tujuan jawatankuasa ini ditubuhkan adalah seperti berikut:
“ Mengkaji semula matlamat dan kesannya sistem pendidikan sekarang, termasuk kurikulumnya, dalam rangka dasar pelajaran kebanggsaan yang wujud dengan tujuan untuk mempastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi samada dari segi jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang dan lebih-lebih lagi untuk mempastikan bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.”
…Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran
Jawatankuasa telah mengeluarkan laporannya pada 7 November 1979 dikenali sebagai laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran. Berdasarkan kepada Laporan ini beberapa pindaan telah dibuat ke atas dasar pendidikan negara bagi memberi lebih makna kepada pelaksanaan sistem pendidikan. Laporan jawatankuasa ini lebih banyak member penegasan kepada keperluan pendidikan asas 3M (membaca, menulis dan mengira), pendidikan kerohanian dan kurikulum ala Malaysia. Antara lain implikasi daripada laporan tersebut adalah pengenalan kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1982 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada 1988 bagi menggantikan kurikulum lama yang didapati tidak sesuai lagi.
Selain daripada itu, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran adalah juga pemulaan kepada pembentukan falsafah pendidikan negara yang lebih jelas. Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang diterbitkan pada 1979 adalah permulaan kepada pembentukan falsafah pendidikan negara yang lebih jelas. Falsafah pendidikan yang bertulis tersebut dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Falsafah Pendidikan Negara mula diperkenalkan secara bertulis mulai tahun 1988. Penyataan Falsafah Pendidikan Negara adalah seperti berikut:
“ Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan keluarga.”
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 1988)
Falsafah Pendidikan Negara adalah dibangunkan berasaskan berasaskan kepada pelbagai perkara termasuk pembangunan insan, pembangunan negara, keadaan rakyat yang berbilang kaum serta agama ke arah pengwujudan satu bangsa Malaysia yang maju, berdaya saing serta mempunyai jati diri yang mantap melibatkan intelek, rohani, emosi dan jasmani secara seimbang dengan berlandaskan kepada ketuhanan. Falsafah Pendidikan Negara yang juga diasaskan kepada hasrat serta inspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis adalah memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini adalah menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.
Selain itu, Falsafah Pendidikan Negara mengambil kira aspirasi proses pembangunan bangsa dan negara yang agak panjang. Apa yang digariskan dalam falsafah ini juga selaras dengan kehendak agama rasmi negara dan pembangunan negara Malaysia. Falsafah Pendidikan Negara dibentuk berdasarkan syariah dan bukannya sekular.
“ Berteraskan kepada di atas (Falsafah Pendidikan Negara), hala tuju dan matlamat pendidikan negara Nampak semakin kukuh dari waktu sebelumnya. Gabung jalin antara rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan adalah menepati dengan falsafah pendidikan Islam.”
… Dr. Mohd Nur Manuty, 1989
Falsafah pendidikan Islam adalah sebagai yang telah diputuskan dalam satu resolusi atau konsensus sedunia dalam persidangan dunia mengenai pendidikan muslim yang diadakan di Jeddah, dari 31 Mac hingga 8 April 1977 serta Muktamar Kaherah pada tahun 1980. Falsafah pendidikan Islam mengikut resolusi tersebut adalah seperti berikut:
“ Pendidikan berterusan ke arah perkembangan seimbang diri individu dari segi rohani, intelek, emosi dan fizikal yang membawa kepada individu yang beriman, berilmu, berakhlak, bertakwa dan beramal salih untuk membina masyarakat, hormat-menghormati dan bantu membantu antara satu sama lain.”
Selain daripada itu, kerana Falsafah Pendidikan Negara adalah himpunan aspek dan nilai yang terbaik, maka Falsafah Pendidikan Negara juga adalah selaras dengan nilai-nilai baik yang terdapat dalam falsafah pendidikan Barat. Menurut Abdul Rahman dan Zakaria, Falsafah Pendidikan Negara adalah bersifat eklektisisme, iaitu pilihan nilai-nilai baik daripada pelbagai sumber dan falsafah. Nilai-nilai baik adalah sifatnya sewarjagat, yang demikian tiada mana-mana pihak yang menolaknya. Menurut Sufean, Falsafah Pendidikan Negara merangkumi cabang-cabang falsafah iaitu epistemologi, metafizik dan aksiologi yang juga secara langsung meliputi falsafah idealisme, realisme, perenialisme, progresivisme dan eksistensialisme.
Falsafah Pendidikan Negara dengan sifatnya yang mantap masih dikekalkan dalam Akta Pendidikan 1996 ini. Namun dengan sedikit tambahan perkataan dilakukan bagi memantapkan lagi falsafah ini. Falsafah Pendidikan Negara seterusnya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
“ Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan keluarga.”
(Kementerian Pendidikan Malaysia 1996)
1.2 Peranan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Dalam sistem pendidikan Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan memainkan peranan yang sangat penting dalam memacu pendidikan kebangsaan. Peranan yang utama ialah sebagai penyuluh yang memberi panduan dan tuju arah kepada segala usaha mengembangkan dan memajukan pendidikan. Panduan yang berguna dapat diguna pakai oleh guru dan pendidik-pendidik di Malaysia agar tidak terkeluar daripada landasan yang sebenarnya. Guru juga boleh menjadikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai rujukan untuk membantu mereka memahami sistem pendidikan negara.
Seterusnya, menjadi dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan Matlamat Pendidikan Negara. Sebagai pendidik di sekolah, dasar dan pertimbangan asas ini dapat menentukan kurikulum, bahan-bahan pelajaran dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan mampu memberi impak yang besar kepada pelajar dan seterusnya menyediakan platform yang terbaik untuk pelajar di masa depan. Gaya pembelajaran guru juga seharusnya berbeza dan mengikut peredaran zaman agar para pelajar tidak cepat berasa bosan dan kurang daya tarikan terhadap mata pelajaran yang diajar oleh guru tersebut. Peredaran zaman yang mencabar mengkehendaki para pendidik bergerak lebih maju dan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan anak bangsa.
Selain daripada itu, peranan Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga ialah sebagai bimbingan dan rujukan para pendidik. Guru sebagai pendidik di sekolah sekurang-kurangnya mestilah mempunyai satu bahan rujukan untuk membuat rujukan bagi kes-kes tertentu. Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah salah satu bahan yang boleh dirujuk jikalau terdapat kes-kes yang tertentu dan diragui keberkesanannya. Di dalamnya terkandung segala bahan-bahan dan amat berguna bukan sahaja kepada pendidik tetapi bagi para pelajar juga berguna. Hal ini kerana para pelajar dapat mengetahui asal usul pendidikan negara sebelum dan selepas merdeka. Pelajar juga dapat menghayati dan mengamalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam kehidupan seharian mereka.
Selanjutnya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga dapat menghilangkan salah faham dan keraguan. Segala keraguan dan salah faham dapat dielakkan dengan merujuk kembali Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Peranan Falsafah Pendidikan Kebangsaan terlalu banyak dan penggunaanya sekarang perlu diperluaskan lagi untuk menjamin masa depan pendidikan kebangsaan yang cerah. Pendidikan negara adalah salah satu tunjang keutuhan sesebuah negara dan mampu membawa Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Seterusnya, pendidikan juga dapat memacu negara ke arah kegemilangan negara dan melahirkan insan yang berdaya saing dan seimbang dari segi emosi, rohani, jasmani dan intelek.
1.3 Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, matlamat pendidikan negara dapat ditafsirkan sebagai usaha yang komprehensif dan berterusan untuk melahirkan individu yang bersahsiah baik, berketrampilan seterusnya seimbang dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani tanpa mengenepikan kepercayaan dan kepatuhan kepada perintah Tuhan. Juga individu insan tersebut perlu berilmu pengetahuan dan berfikiran kreatif dan rasional, berakhlak mulia, berkeupayaan member sumbangan kea rah memakmurkan masyarakat dan negara. Individu yang mempunyai tanggungjawab di dalam menjaga hubungan baik dan mesra di antara sesama manusia bagi memupuk perpaduan rakyat Malaysia yang bertepatan dengan konsep 1 Malaysia yang di lancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Bin Tun Abdul Razak.
Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dihuraikan sebagai menyedia dan memberi peluang pendidikan kepada semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan asal keturunan. Seterusnya ialah memberi peluang kepada rakyat di negara ini menuntut ilmu sepanjang hayat selaras dengan konsep pendidikan seumur hidup dan membolehkan mereka melakukan kerja dengan menggunakan kemahiran yang dipelajari. Pendidikan juga dapat mengembangkan keupayaan individu dari segi fizikal dan mental; membolehkan seseorang itu menghayati prinsip Rukun Negara bagi menghasilkan rakyat yang lebih baik, iaitu rakyat yang taat setia, progresif, patriotik, bertoleransi dan bermoral baik. Keseimbangan fizikal dan mental para pelajar amat penting untuk menghadapi dunia yang kian mencabar masa kini. Daya tahan yang kental mampu menyediakan pelajar yang berkualiti di masa depan.
Proses pendidikan dapat melengkapi seseorang itu dengan kemahiran berkomunikasi untuk meningkatkan kefahaman yang positif dan mengeratkan perhubungan antara satu sama lain. Selain daripada itu, pendidikan dapat menghasilkan tenaga pekerja yang berpengetahuan dan berkemahiran bagi mempertingkatkan produktiviti untuk kestabilan politik, sosioekonomi dan budaya. Kurikulum yang dibentuk dalam pendidikan mengandungi pengetahuan, kemahiran dan nilai murni selaras dengan objektif pendidikan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah di dalamnya padat dengan konsep, proses dan kesan akhir pendidikan kepada rakyat di negara ini. Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu ditafsir supaya dapat dihuraikan dengan jelas bagi tujuan pencapaian hasratnya.
2.0 Konsep Pendidikan Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Di lihat daripada konsepnya, pendidikan sebagai yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah suatu usaha yang berterusan yang berterusan dan berlangsung sepanjang hayat (life long education). Antara lain rasionalnya ialah kerana manusia mengalami pertumbuhan dan perkembangan. Proses pertumbuhan dan perkembangan akan menyebabkan akan menyebabkan perubahan berlaku pada individu. Usaha adaptasi kepada perubahan perlu kepada latihan kemahiran mahupun pendidikan. Selain daripada itu, persekitaran yang terus berubah dari semasa juga menuntut kepada ketrampilan yang perlu sentiasa dipertingkatkan. Melalui konsep pendidikan sepanjang hayat, kesinambungan dalam kehidupan dapat berlangsung dengan lancar.
Proses pendidikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah dengan memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang melibatkan intelek, rohani, emosi dan jasmani. Ini adalah bertujuan membentuk individu yang seimbang dan harmonis dalam keempat-empat potensi tersebut. Pembangunan diri insan dapat didefinisikan sebagai suatu proses pembentukan individu manusia yang berlaku secara sengaja dan sistematik yang mencakupi pengembelengan seluruh aspek potensi diri insan samada secara fizikal, rohani, emosi dan intelek. Pengembelengan ini adalah secara bersepadu ke arah pemantapan diri bagi melahirkan manusia yang sempurna dan seimbang di dunia dan akhirat.
Pengembangan unsur rohani, unsur emosi, unsur jasmani dan unsur intelek adalah tidak secara terasing (compartmentalized). Sebaliknya adalah perlu dilakukan secara bersepadu (integrated). Penekanan hanya kepada mana-mana satu unsur sebagai yang terdapat dalam sistem pendidikan sebelum ini hanya akan menjadi individu yang tidak seimbang. Insan yang sempurna dan seimbang ini dilahirkan bagi mengenali diri dan memahami erti kehidupan sebenar serta mampu kembali kepada hakikat kejadian asal insan iaitu mengabdi kepada tuhan dan sekaligus memiliki kualiti kepimpinan cemerlang. Kecemerlangan insan amat dititikberatkan oleh masyarakat sekarang kerana mampu menjamin masa depan yang cemerlang dan seterusnya mampu menjadi pelapis-pelapis pemimpin negara kelak.
2.1 Intelek
Dengan wujudnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan, salah satu ciri yang menonjol ialah budaya ilmu dan berkait rapat dengan intelektual para pelajar di sekolah. Menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan salah satu cirri utama warga Malaysia yang hendak dilahirkan ialah warga Malaysia yang berbudaya ilmu. Wawasan 2020 pula menegaskan tentang keperluan melahirkan individu dan masyarakat yang kaya dengan maklumat. Malahan budaya ilmu menjadi pra syarat ke arah menjayakan cita-cita membangunkan sebuah negara bangsa yang maju, berwibawa dan cemerlang. Hal ini ditegaskan oleh M. Wasiullah Khan (Canselor East West University, Chicago, USA) :
The history of mankind bears witness to the fact that the rise and fall peoples and civilizations are directly related to the acquisition, production and sagacious use of knowledge. Those who excel in this respect assume the leadership of nations.
(Education & Society in The Muslim World, hal. 25)
Salah satu tumpuan utama dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) ialah pemupukan budaya ilmu di dalam diri pelajar. Matlamatnya adalah untuk melahirkan pelajar yang cintakan ilmu dan dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari itu sebaik-baiknya. Matlamatnya juga bagi melahirkan masyarakat yang meletakkan ilmu di tempat tertinggi dalam sistem nilai hidup mereka. Mereka berlumba-lumba untuk memiliki, memperkembang, memanfaat dan menghayati ilmu untuk kepentingan kehidupan diri, seluruh manusia alam sewarjagat. Pola-pola utama yang perlu ditanam di dalam diri pelajar ialah budaya membaca, budaya belajar, budaya berfikir, budaya berwacana dan budaya menulis serta berkarya.
Masyarakat juga telah menegaskan tentang keperluan membina budaya sekolah yang positif dan salah satu terasnya ialah budaya ilmu. Maksudnya pelajar perlu digalakkan untuk memupuk minat membaca, mencari maklumat, merujuk bahan-bahan di perpustakaan dan membuat penyelidikan. Guru tidak perlu memindahkan semua maklumat dan membiarkan pelajar mendapat semua maklumat yang diberikan. Pelajar uga digalakkan berbincang dan mengeluarkan buah fikiran. Justeru, pendekatan yang dianjurkan untuk Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu pembelajaran yang tertumpu kepada pelajar (child-centred) mesti diamalkan dan sebaliknya kita perlu mengurang dan menghapuskan pembelajaran yang tertumpu kepada guru (teacher-centred). Usaha-usaha sebegini dapat membantu para pelajar mengembangkan minat dan potensi serta mendekatkan diri kepada ilmu pengetahuan.
Walaupun tumpuan dalam kurikulum ialah untuk pelajar, para pendidik sendiri mestilah terlebih dahulu mengamal dan menghayatinya. Adalah amat ironis jikalau para pendidik bertungkus lumus untuk menjayakan pemupukan budaya ilmu, misalnya dengan menggalakkan pelajar membaca tetapi mereka sendiri tidak membaca. Langkah seolah-olahnya menyuruh anak ketam berjalan betul, tetapi tidak membuahkan hasil yang diharapkan. Dalam konteks ini komuniti pendidik khasnya perlu tampil memimpin anak didik dan masyarakat mengamali dan menghayati budaya ilmu melalui contoh teladan. Kita bersama-sama mesti berusaha menjadikan organisasi kita sebagai learning organization.
2.2 Rohani
Matlamat pendidikan juga merupakan cita-cita dan hasrat murni yang ingin dicapai. Hal ini berjalan selari dengan matlamat negara malahan dalam banyak hal pendidikan merupakan saluran yang utama dan alat yang paling berkesan untuk menjayakan cita-cita negara. Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan , matlamat pendidikan ialah jelas melahirkan insan yang jelas. Insan yang baik ini sekaligus akan menjadi rakyat dan juga warganegara yang baik. Wajah insan ini digambarkan dengan jelas di dalam pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Pada asasnya insan yang baik ialah merupakan insan yang memiliki sahsiah yang seimbang dan bersepadu. Ia memiliki serta menghayati ciri-ciri seperti percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara serta berbakti dan sedia member sumbangan kepada masyarakat, agama dan negara. Sebenarnya seluruh ciri-ciri yang dinyatakan terkandung dan tidak dapat dipisahkan daripada sistem nilai yang didokong, dianuti dan diamalkan oleh seseorang.
Dalam kata-kata lain usaha untuk mencapai matlamat pendidikan dan juga hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, tidak dapat dilakukan secara mengasas, membina dan memperkembangkan pendidikan di atas landasan nilai-nilai pendidikan dan nilai-nilai tidak dapat dipisahkan kerana kata Profesor Taylor:
“Pendidikan adalah satu arena yang merangkumi di dalamnya semua corak dan rupa nilai yang terlibat.”
(Moral Philosophy and Education, hal.5)
Maka sudah tentu dalam konteks sistem pendidikan di Malaysia menekankan konsep ketuhanan mengikut agama yang dianuti dan nilai-nilai yang luhur dan murni. Nilai-nilai murni ini merujuk kepada tanggapan mengenai perkara-perkara yang baik, mulia dan tetap. Sudah tentu kita tidak bermaksud nilai-nilai murni sebagai nilai-nilai yang cair, berubah-ubah dan nisbi. Dari sudut sosiologi, nilai-nilai murni sebaliknya yang dimaksudkan sebagai nilai-nilai luhur (sacred), nilai-nilai sebaliknya yang dimaksudkan sebagai nilai-nilai yang tidak kudus (profane).
Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat atau bangsa biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan agama, malahan falsafah moral (seperti Confucianism) untuk membentuk kehidupan penganut dan pengikutnya menjadi baik dan berakhlak mulia. Bersabit dengan akhlak dan wahyu yang diturunkan kepada manusia, Profesor Ismail Faruqi mengatakan:
“Wahyu adalah satu pernyataan kesemua nilai-nilai kehidupan. Ia mengandungi hiraki nilai-nilai dan prinsip-prinsip pengenal pastinya dan hubungkait dan relevennya kepada semua manusia.”
(dlm. Islam and Culture, hal. 20)
Adalah jelas bahawa nilai-nilai murni terpancar dari agama. Ia menetapkan prinsip-prinsip akhlak yang utama. Dari prinsip-prinsip yang utama terpancar bermacam-macam nilai:
“…maka kita akan jumpa di sana kemanusiaan, politik, ekonomi dan lainnya, nilai tersebut tidak bersifat relatif akan tetapi tetap sikapnya dan tidak berubah kerana kebenaran-kebenaran itu sendiri adalah tetap begitu juga nilainya.”
(Dr. Muqdad Yaljan, Peranan Pendidikan Akhlak Islam, terjemahan, hal. 2)
Berdasarkan nilai-nilai utama, manusia mengembangkan nilai-nilai tambahan. Nilai-nilai tambahan ini tidak bercanggah dan adalah selaras dengan nilai-nilai utama. Maka kesannya nilai-nilai utama akan menjadi bertambah kukuh dan kaya. Maka apa yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah selaras dengan tanggapan mengenai nilai-nilai murni yang bersifat tetap dan kudus. Ini adalah kerana Jawatankuasa Pendidikan Akhlak yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah meneliti nilai-nilai yang terkandung dalam pelbagai agama yang diamalkan di negara ini.
Berdasarkan pandangan dan maklum balik yang diperolehi, Jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil pelbagai agama telah dapat menerima dan memuktamadkan 16 nilai yang boleh diajarkan kepada semua pelajar yang berada di negara ini. Nilai-nilai ini adalah didokong oleh semua agama dan bersifat sewarjagat. Nilai-nilai itu seperti baik hati, berdikari, hemah tinggi, hormat menghormati, kasih sayang, keadilan, kebebasan, kebaersihan fizikal dan mental, keberanian, kejujuran, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional dan semangat bermasyarakat.
Matlamat penerapan nilai-nilai murni melalui pendidikan ialah untuk melahirkan insan dan juga warganegara yang baik serta memiliki akhlak mulia. Objektifnya ialah menanam kesedaran, kesefahaman, keyakinan dan juga kesyukuran. Selain itu, menanam semangat cintakan nilai-nilai suci, menghormati kebaikan dan kebencian keburukan, membentuk sikap positif dan berguna kepada agama, bangsa dan juga sewaktu menjalankan tugas serta tanggungjawab. Seterusnya, menghapuskan sikap negatif dalam kehidupan dan juga sewaktu menjalankan tugas serta tanggungjawab. Bersabit dengan pendidikan dan nilai-nilai, E.F.Schumaker menjelaskan:
“Pada dasarnya pendidikan beerti penyampaian nilai-nilai murni tetapi nilai-nilai ini tidak akan membolehkan kita untuk hidup dengan jayanya kecuali nilai-nilai ini menjadi nilai-nilai kita sendiri, iaitu ia menjadi sebahagian daripada diri kita, lebih khusus lagi sebahagian daripada mental kita.”
(dlm. Small Is Beautiful, hal. 83)
Berdasarkan kepada penyataan di atas, adalah jelas bahawa hubungan pendidikan dan penerapan nilai adalah sangat akrab. Seolah-olah pendidikan tidak berlaku tanpa penerapan nilai. Hakikat ini adalah selaras dengan hasrat dan penekanan Jawatankuasa Kabinet supaya semua pelajar di sekolah menengah dan rendah diajar nilai-nilai murni melalui pendidikan moral. Pelajar bukan Muslim boleh memperolehinya melalui matapelajaran khusus Pendidikan Moral. Langkah ini telah dilaksanakan di peringkat rendah mulai tahun 1982 di sekolah percubaan dan 1983 di semua sekolah rendah.
Bagi menjayakan cita-cita ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memutuskan untuk mendekati perkara secara komprehensif. Strategi yang diambil ialah untuk menerapkan nilai-niali murni merentasi kurikulum. Dalam kata-kata lain, nilai-nilai murni akan disisipkan melalui semua matapelajaran dan ia diperkukuhkan pula melalui kegiatan-kegiatan kokurikulum dan pembentukan budaya sekolah yang positif. Ringkasnya, kedua-dua bentuk kurikulum, formal dan tidak formal samada di dalam atau di luar bilik darjah akan digunakan sepenuhnya dan secara bersepadu untuk memastikan penerapan nilai-nilai murni akan berhasil dan berkesan.
2.3 Emosi
Jika diteliti ke dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan cirri-ciri manusia serta masyarakat yang hendak dijelmakan adalah amat ketara bahawa kita mahu melahirkan insan dan bangsa yang seimbang dari segi emosi dan cemerlang dalam kehidupan. Malaysia mahu memasuki ke dalam kumpulan the Big League. Justeru, cita-cita besar negara ini mesti diiringi dengan kerja-kerja yang besar, pengorbanan, perjuangan dan kuncinya ialah kecemerlangan. Kita tidak boleh berkompromi melainkan dengan taraf yang setingginya iaitu kecemerlangan.
Emosi para pelajar berkait rapat dengan kecemerlangan yang digapai. Emosi yang stabil mampu melahirkan insan yang berdaya saing. Pelajar seharusnya bijak mengawal emosi dengan keadaan sekeliling dan mampu mengawal emosi ketika berada dalam tekanan. Persekitaran di sekolah memainkan peranan penting dalam mengawal emosi para pelajar. Kurikulum (1981) mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar. Memandangkan faktor iklim sekolah turut membantu mewujudkan sekolah yang berkesan, maka terdapat beberapa ciri yang diketengahkan dalam hal yang sedemikian.
Menurut Halpin dan Croft (1963), iklim sekolah yang berkesan mampu mewujudkan sekolah yang berkesan mempunyai ciri-ciri seperti guru-guru merasa selamat, berpuas hati dan berkeyakinan. Seterusnya, guru-guru tidak akan tertekan dan mengambil perhatian tentang kemajuan murid-muridnya. Selanjutnya, pengetua merasa penuh yakin terhadap kerjayanya serta bertimbang rasa dan pelajar berasa selamat dan belajar bersungguh-sungguh. Kesemua ciri-ciri yang dinyatakan adalah untuk memacu kecemerlangan pelajar dan menjamain masa depan yang gemilang.
Abdul Rahman an-Nahlawi (1995) pula menyatakan iklim sekolah yang berkesan mampu mewujudkan integrasi dan keharmonian sesama pelajarnya yang berbeza status sosio-ekonomi mereka. Selain itu, sekolah juga mampu mengurangkan perbezaan-perbezaan sesama mereka. Pihak sekolah juga boleh mewujudkan kerjasama dengan keluarga pelajar. Hubungan yang mesra di antara sekolah dan keluarga akan membentuk pendidikan yang lebih sempurna bagi pelajar-pelajarnya. Keberkesanannya amatlah diharapkan diantara kedua belah pihak kerana kerjasama yang erat mampu melahirkan budaya kerja yang berkualiti dan dapat diguna pakai dalam segala permasalahan yang timbul.
Sesebuah sekolah berkesan daripada kaca mata Islam pula tidak sempurna sekiranya tidak wujud suasana keagamaan (iklim dini) di sekolah, khususnya jika majoriti warga sekolah samada pelajar, guru mahupun kakitangannya beragama Islam. Ini bertepatan dengan pandangan Rosnani dalam muqaddimah buku Ali Muhammad yang mengatakan bahawa sesebuah sekolah bukan sahaja perlu efektif tetapi yang lebih penting ialah bagaimana guru dan pelajarnya yang kuat pegangan agama Islam berusaha untuk membawa sekolah bekenaan ke puncak menara kejayaan.
Kementerian Pelajaran Malaysia sangat menekankan aspek afektif dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Suasana bilik darjah juga mempengaruhi emosi para pelajar lebih-lebih lagi pengajaran berbentuk fakta yang memang berbeza daripada berbentuk nilai. Oleh kerana itu, walaupun pengetahuan mengenai nilai diperkukuhkan dengan kesedaran, keyakinan dan amalan. Ini hanya dapat dilaksanakan apabila sekolah yang dianggap sebagai a value-realizing institution yang terbaik dapat menyediakan peluang yang mencukupi untuk pelajar mengamalkan nilai-nilai tersebut.
Pada masa yang sama suasana yang memberangsangkan dan budaya sekolah yang positif perlu diwujudkan. Pengajaran yang berkait rapat di dalam bilik darjah berkait secara langsung dengan kegiatan di luar bilik darjah ataupun kurikulum dikaitkan dengan kokurikulum. Bagi menjayakan penerapan nilai dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), kurikulum formal perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan kurikulum tidak formal. Apa yang tersirat setakat ini dan tersurat secara tidak langsung dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979, ialah penentu tentang wajah, jenis manusia dan warganegara Malaysia yang perlu dibentuk. Hal ini mustahak seperti yang dinyatakan oleh Profesor Hanna Holborn Gray, Presiden dan Trustee Universiti Chicago:
“Apabila kita memikirkan mengenai matlamat pendidikan, kita sebenarnya memikirkan apakah jenis manusia, apakah jenis kebolehan, apakah matlamat yang paling unggul untuk masyarakat dan untuk penghidupan di tamadun yang bermutu.”
(dlm. Magazine, Winter 1988, hal. 6)
2.4 Jasmani
Sistem pendidikan yang berwibawa dan responsif mesti bersifat dinamis. Unsur dinamisme membekalkan darah dan semangat untuk menggerak dan membolehkan sistem itu berada dalam keadaan segar dan hidup. Dalam konteks ini, sistem pendidikan kita sentiasa berkembang selaras dengan peredaran masa dan keperluan zaman. Sekarang kita telah berjaya menangani isu-isu dan masalah-masalah yang mengiringi setiap reformasi tersebut. Misalnya, untuk mengatasi keperluan menyediakan guru-guru untuk mengajar di sekolah menengah rendah pada 1965, kerajaan telah melancarkan program latihan guru yang dikenali sebagai Regional Training Centre (RTC). Guru-guru yang tidak terlatih diambil terus untuk mengajar dan kemudiannya dilatih pada hujung minggu dan cuti persekolahan. Seterusnya, dapat mengatasi masalah tersebut dan menyediakan guru-guru yang mencukupi untuk menjayakan program pendidikan komprehensif.
Walau bagaimanapun dalam konteks reformasi pendidikan yang dilancarkan mulai awal 80-an, dan lebih-lebih lagi dengan pengungkapan rasmi Falsafah Pendidikan Negara pada 1988, implikasinya adalah jauh lebih besar dan mendalam daripada beberapa siri reformasi yang dilakukan sebelum itu. Kesan dan implikasinya masih perlu kita tangani, fahami dan mengoperasikannya secukup-cukupnya dan menghayati dengan penuh jiwa dan raga. Reformasi ini masih lagi berjalan dan akan terus berkekalan sehingga kita semua dapat menghayati dan melaksanakan dengan sepenuhnya.
Walaupun matlamat asal Jawatankuasa Kabinet ialah untuk mengkaji hubungan antara sistem pendidikan dengan tenaga manusia dan perpaduan, Laporan Jawatankuasa ini telah menyentuh perkara-perkara yang asasi, iaitu konsep pembangunan manusia dan kemanusiaan. Jawatankuasa ini menegaskannya seperti berikut:
“Tegasnya, individu yang dilahirkan daripada sistem persekolahan negara perlu selaras dengan tujuan pembangunan kemanusiaan.”
(Perenggan 452, hal. 227)
Jawatankuasa ini amat prihatin terhadap pembangunan kemanusiaan terutama dalam perkembangan jasmani pelajar kerana bimbang terhadap pengarauh luar yang akan merosakkan proses pembangunan generasi dan bangsa. Hal ini berkait juga dengan menghalang para pelajar dengan pencemaran dan pemusnahan nilai-nilai dan tradisi yang luhur serta perungkaian keyakinan dan pegangan agama. Keadaan ini jika dibiarkan akan membawa padah dan kemusnahan kepada bangsa dan negara. Justeru, Jawatankuasa Kabinet menegaskan seperti berikut:
“Untuk kepentingan pembangunan negara tenaga rakyat yang diperlukan bukan sahaja perlu dilihat dari segi bilangan, jenis pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki: bahkan perlu juga dilihat dari segi nilai-nilai disiplin yang perlu diterima. Dari segi sikap, mereka perlu jujur dan dedikasi terhadap kerja. Mereka bukan sahaja perlu cekap bahkan perlu boleh berfikir dan bertindak dengan baik samada secara sendirian mahupun secara beramai-ramai dengan berpandukan kepada punca-punca akhlak mulia.”
(Perenggan 452, hal. 227)
Perkembangan jasmani para pelajar berkait rapat dengan pencapaian akademik mereka. Secara umumnya, perkembangan jasmani bermaksud perkembangan diri para pelajar secara luaran termasuklah kegiakan kokurikulum di sekolah. Kokurikulum bukanlah satu konsep yang terpisah daripada kurikulum. Seperti yang sedia maklum, kokurikulum lahir daripada kurikulum dan membawa makna deminsi pendidikan yang terletak di luar daripada ruang litup pendidikan di bilik darjah. Perkembangan kemudiannya membuat pakar-pakar pendidikan mengubah sikap lalu menganggap bahawa program-program kokurikulum itu sebenarnya adalah sama sahaja pentingnya dalam proses perkembangan jasmani yang seimbang bagi setiap pelajar. Oleh itu, program yang dahulunya dianggap sebagai tambahan, kini dianggap sebagai sama pentingnya dengan program kokurikulum.
Daripada pandangan kaca mata kasar, dapatlah dikatakan bahawa kokurikulum adalah aktiviti amali sebagai lanjutan kepada mata pelajaran bilik darjah. Pengetahuan daripada mata-mata pelajaran lain diintegrasikan dalam aktiviti praktikal semasa menjalankan gerak kerja kokurikulum dalam bentuk gunaan. Misalnya, dalam latihan sukan sebagai satu gerak kerja kokurikulum, pengetahuan dalam biologi berkenaan dengan sistem kardiovaskular dapat diaplikasikan dalam sistem latihan pembinaan daya tahan, dalam keadaan yang lebih bermakna dan realistik.
Begitu juga keadaannya dengan gerak kerja-gerak kerja kokurikulum yang lain. Pengalaman yang diperolehi dengan cara ini akan meluaskan pandangan, pengetahuan, kefahaman mereka serta menghasilkan pengembangan dan kematangan jasmani melalui situasi di mana terdapat interaksi sosial yang sihat dan positif dalam suasana yang lebih bermakna, riang dan menyeronokkan. Dengan kata lain, kokurikulum yang mempunyai berbagai-berbagai jenis aktiviti dapat dijadikan sumber pendidikan yang menyeronokkan. Terdapat tiga jenis aktiviti kokurikulum yang perlu dilakukan di sekolah iaitu sukan dan permainan, kelab dan persatuan serta unit beruniform. Pelajar-pelajar di sekolah dalam sisitem persekolahan kita dikehendaki mengambil bahagian dalam ketiga-tiga jenis aktiviti tersebut.
Setiap jenis aktiviti yang dijalankan di sekolah mempunyai sumbangan yang tersendiri. Sukan dan permainan rupanya, adalah satu-satunya aktiviti yang dapat memberikan sumbangan terhadap kesuburan fizikal, kemahiran dan kecergasan dan ciri-ciri sosial yang juga dalam aktiviti unit beruniform mahupun dalam kelab dan persatuan. Unit beruniform juga menyumbangakan perkhidmatan kepada masyarakat, kelab dan persatuan pula mendorong pelajar melopori atau mengkaji sesuatu bidang yang berkaitan dengan lebih luas bagi memperkayakan pengetahuan. Walaupun sesuatu aktiviti kokurikulum mempunyai sumbangan tersendiri, namun kesemuanya secara langsung atau tidak mempunyai peranan untuk membentuk sifat-sifat sosial yang bernilai dan mempunyai unsur-unsur pendidikan akademik juga.
Penglibatan pelajar dalam ketiga-tiga jenis aktiviti ini akan membolehkan pelajar itu mengalami atau merasai bentuk kegiatan yang akan ditemui dalam alam dewasa kelak. Kegiatan-kegiatan kokurikulum dapat dilihat juga sebagai pengalaman perantaraan di antara alam persekolahan dengan alam luar dan seterusnya alam dewasa. Aktiviti unit beruniform seringkali dikaitkan dengan kehidupan yang penuh disiplin dengan diawasi dengan undang-undang dan peraturan-peraturan yang ketat. Oleh itu, memahami norma dan mematuhi cara-cara yang telah tergalur dalamnya sebagai ahli kumpulan itu merupakan satu pengajaran kepada setiap pelajar. Pengalaman ini akan membolehkan mereka yang rajin berkecimpung dalam aktiviti sedemikian rupa atau seterusnya menjadikan aktiviti itu sebagai kerjaya masa hadapan.
3.0 Penutup
3.1 Kesan akhir pendidikan holistik berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Kesan akhir pendidikan sebagai yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah dilihat dari dua dimensi utama iaitu dimensi intrinsik dan dimensi sosial. Deminsi intrinsik adalah dengan melihat bahawa pendidikan adalah bagi melahirkan individu rakyat Malaysia yang mempunyai kepercayaan kepada Tuhan, patuh kepada ajaran agama, berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab serta berkeupayaan mencapai kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan diri. Usaha ini adalah bagi membentuk generasi akan dengan peribadi dan akhlak yang tinggi. Generasi yang terdidik ini mestilah boleh bertoleransi di antara kaum dan agama. Selain daripada itu, mereka berupaya menghormati kebudayaan kaum-kaum lain yang terdapat di negara ini dan menghargai kebudayaan kebangsaan.
Akhlak dan keperibadian murni yang dibentuk dalam diri setiap individu terutamanya remaja dan generasi yang akan datang akan menjadi perintis dalam membangunkan negara. Pada usia yang muda, mereka mudah terpengaruh dengan aktiviti-aktiviti sosial yang kurang berfaedah dan terjebak dalam kancah maksiat seperti mabuk, menagih dadah, merokok, melacurkan diri, berfoya-foya dan lain-lain. Gejala-gelaja tersebut perlu dibanteras dan langkah-langkah perlu diambil untuk mengatasinya sebelum ia akan menjadi semakin berleluasa. Kita tidak mahu negara lain memandang rendah terhadap negara kita dan kepentingan untuk menjaga nama baik negara Malaysia adalah amat perlu. Didikan agama yang secukupnya dan kesedaran diri juga perlu untuk mengatasi gejala keruntuhan akhlak yang berllaku pada masa ini. Apabila terbentuknya akhlak yang tinggi, diharapkan negara lain akan memandang tinggi terhadap negara kita standing dengan negar-negara maju yang lain.
Dimensi sosial pula adalah dengan melihat bahawa pendidikan adalah bagi melahirkan individu rakyat Malaysia yang mampu memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyrakat dan negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dijadikan teras ke arah melahirkan rakyat mempunyai kualiti ketrampilan diri yang tinggi. Pembangunan diri insan adalah mendasari pembangunan kehidupan manusia itu sendiri yang seimbang bersepadu dan harmonis secara mental, fizikal dan spiritual akan menentukan kesejahteraan pembangunan negara dan ummah. Pembangunan yang semata-mata merujuk kepada fizikal dan metarial tidak akan menjamin kelangsungan tamadun manusia, sebaliknya akan diakhiri dengan kegagalan kerana tiada daya tahan mahupun jati diri lantaran kehilangan komponen penting iaitu jiwa murni, keimanan dan konsep ketuhanan yang menjadi terasnya.
Bibliografi
Buku
Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman. (2003), Falsafah pendidikan dan kurikulum, Tanjung Malim: Quantum Books.
Mok Soon Sang. (1993), Asas pendidikan I sekolah dan bilik darjah, terbitan ketiga, Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Nicholas, SH dan Nicholls A. (1987), Perkembangan kurikulum: Satu panduan praktis, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Mohd Zahid Wan Mohd Noordin. (1993), Wawasan pendidikan agenda pengisian, cetakan kedua, Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
Wallen C.J and Wallen L.L. (1998), Effective classroom management, 2nd Edition, Boston: Prentice Hall.
Jurnal
Ahmad Zabidi Abdul Razak (2006). Ciri iklim sekolah berkesan: Implikasinya terhadap motivasi pembelajaran. Diperoleh pada Julai 24, 2009 daripada http://www.jurnalpendidikan.com
Nor Azizah Salleh dan Siti Rahayah Ariffin (2001). Penerapan nilai murni melalui pembelajaran kooperatif. Diperolehi pada Julai 14, 2009 daripada http://www.jurnalpendidikan.com
Internet
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1996). Diperoleh pada Ogos 4, 2009 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Falsafah Pendidikan Negara (1988). Diperoleh pada Ogos 4, 2009 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Falsafah Pendidikan Negara
Intelektual (2009). Diperoleh pada Ogos 4, 2009 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/intelektual
Rohani (2009). Diperoleh pada Ogos 4, 2009 daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/rohani
19
Edit this page (if you have permission) |
Google Docs -- Web word processing, presentations and spreadsheets.

Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Post a Comment